Tips selamatkan diri pada akhir zaman
Baca al-Quran dan menghayatinya dapat menghindari fitnah. - Gambar hiasan
 
FITNAH akhir zaman adalah perkara penting untuk diambil berat dan ketahui berdasarkan al-Quran dan sunnah. ALLAH SWT berfirman: “Dan berjaga-jagalah kalian daripada fitnah yang tidak hanya menimpa orang zalim di antara kalian saja.

Dan ketahuilah, sesungguhnya ALLAH Maha Keras hukuman-Nya.” (Surah Al-Anfal: 25)

Perkataan fitnah bermaksud ujian yang terpaksa dihadapi. Apabila seseorang ditimpa fitnah bererti seseorang itu diuji. Fitnah berlaku ke atas orang yang adil dan juga zalim.

“Kamu pasti diuji terhadap harta mu dan diri mu, dan kamu pasti akan mendengar dari orang yang diberi al-Kitab sebelum kamu dan dari orang yang menyekutukan ALLAH, gangguan yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertakwa, sesungguhnya itu termasuk urusan yang patut diutamakan.” (Surah Ali ‘Imran: 186)

Fitnah yang menimpa orang beriman membuktikan keimanan orang itu, manakala apabila fitnah menimpa orang zalim, akan terbuktilah kezaliman dan kesesatan mereka.


Wajib jauhi fitnah

Kita perlu meminta perlindungan ALLAH agar selamat daripada fitnah zahir mahupun tersembunyi. Fitnah akhir zaman banyak disebut dalam  hadis.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang berbahagia adalah orang yang dijauhkan daripada fitnah (Baginda SAW menyebutnya tiga kali). Barang siapa ditimpa fitnah lalu dia bersabar, maka dia mendapat kebaikan.” (Riwayat Abu Daud)

"Kelak akan ada banyak fitnah di mana orang yang duduk ketika terjadinya fitnah lebih baik daripada yang berdiri, yang berdiri lebih baik daripada yang berjalan, yang berjalan lebih baik daripada yang berlari. Siapa yang menghadapi fitnah maka hendaklah dia menghindarinya dan siapa yang mendapati tempat kembali atau tempat berlindung daripadanya maka hendaklah dia berlindung.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Imam Al-Bukhari dalam Sahihnya membuat satu bab khusus mengenai menghindari fitnah, iaitu: (Bab Termasuk Dari Agama adalah Menghindari dari Fitnah). Di bawah bab ini beliau membawakan hadis daripada Abu Sa’id Al-Khudri RA. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Hampir saja sebaik-baik harta seseorang adalah kambing yang dia pelihara di puncak bukit dan lembah, kerana dia lari menyelamatkan agamanya daripada fitnah.” (Riwayat Bukhari)

Hadis ini menggambarkan tuntutan menjauhi tempat fitnah dan memohon dari ALLAH agar memberi keselamatan. ALLAH menjadikan bagi orang yang beriman wasilah yang cukup hebat iaitu doa. Firman ALLAH: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepada mu tentang Aku, maka sungguh Aku dekat. Aku menjawab permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku.” (Surah Al-Baqarah: 186)

Doa adalah senjata sangat penting, sehingga Umar Al-Khatthab berkata, “Sungguh aku tidak memikul urusan dimakbulkan doa, tetapi aku memikul urusan doa itu sendiri.” Doa yang dipanjatkan itu terdapat syaratnya dan perkara yang menghalang daripada diperkenankan.

Diperkenankan atau tidak adalah urusan ALLAH.

Adapun tugas setiap Muslim adalah menjauhi perkara yang menghalang doa dari diperkenankan.


1. Berdoa dan syaratnya

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Seorang lelaki menempuh perjalanan jauh sehingga rambutnya kusut dan badannya berdebu, dia mengangkat kedua tangannya ke langit lalu berdoa: “Wahai Tuhan ku, wahai Tuhan ku.” Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya daripada yang haram dan rezekinya dari yang haram, maka bagaimanakah ALLAH akan memperkenankan doanya?” (Riwayat Muslim)

Ramai manusia hari ini sumber rezekinya daripada sumber haram, ramai yang berdepan dengan ujian riba. Hasilnya, mereka menjamah sumber haram, begitu juga anak mereka.

Harta mereka ternyata harta fakir miskin yang diambil bukan secara benar. Berkenaan hal ini, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap jasad yang tumbuh daripada yang haram, Api nerakalah yang paling layak baginya.” (Riwayat Al-Hakim, sahih)

Maka hendaklah kita menghindari rezeki haram dan segala perkara syubhah. Bersyukurlah kepada ALLAH. Mengapa kita sendiri menjadi penghalang kepada diperkenankan doa, dan mengapa kita tidak mahu menerima nasihat?


2. Jaga solat dan hak manusia

Antara fitnah zahir adalah banyaknya pemuda pemudi tidak solat secara berjemaah dan menzahirkan perbuatan mungkar. Maka menjadi kewajipan untuk saling menasihati supaya bertakwa kepada ALLAH dan ingat kepada pesanan Nabi Muhammad SAW ketika mengetahui berdepan dengan sakaratul maut. Baginda SAW berkata: “Solat! Solat! Dan bertakwalah kepada ALLAH dalam apa jua yang di bawah tanggungan mu.” (Riwayat Al-Tabari)

Hadis tersebut bermaksud menjaga solat, menjaga syarat dan rukunnya, perkara wajib dan sunatnya, mengerjakan solat secara berjemaah kecuali jika ada keuzuran. Ini adalah hak ALLAH yang perlu ditunaikan.

Baginda SAW juga mengingatkan agar menjaga hak manusia dengan memerintahkan agar menjaga ‘apa yang di bawah tanggungan mu’, yakni hamba lelaki dan perempuan yang dimiliki tuan. Mereka yang mempunyai pekerja berkewajipan bertakwa kepada ALLAH dalam bermuamalah dengan pekerja. Jangan menzalimi pekerja, dan jangan beratkan apa yang mereka tidak mampu, dan jangan memakan harta mereka dengan cara batil.


3. Baca al-Quran dan tadabur

Antara cara menghindari fitnah adalah membanyakkan baca al-Quran, mentadaburnya, mencari apa yang mampu memberi kebaikan untuk dunia dan akhirat.

Apabila membaca Surah Al-Fatihah misalnya, hendaklah menghayati sifat ALLAH yang terkandung di dalamnya. Apabila membaca Iyyaaka na’budu wa iyyaaka nasta’in (Hanya kepada-Mu kami beribadah dan kepada-Mu kami meminta pertolongan), hendaklah kita fahami rahsia yang terkandung dalam ayat ini. Barang siapa yang memahami erti ibadah dan meminta pertolongan kepada ALLAH, maka dia mendapat hasilnya.

Apabila membaca “Tunjukkan kami jalan yang lurus, jalan yang Engkau telah beri nikmat ke atas mereka”, ALLAH menjelaskan dalam Surah Al-Nisa’ tentang orang yang diberi nikmat, “Barang siapa yang mentaati ALLAH dan Rasul-Nya, mereka itulah yang akan bersama orang yang diberi nikmat ALLAH (iaitu) dalam kalangan nabi, siddiqin, syuhada, dan salihin. Mereka itulah sebaik-baik teman.” (Surah Al-Nisaa’: 69-70)

Apabila seseorang memahami kandungan al-Quran, apa perlunya untuk dia mengadu kepada manusia? Jadilah seperti Nabi Ya’qub yang berkata, “Sesungguhnya aku mengadu keperihan ku dan kesedihan ku hanya kepada ALLAH.” (Surah Yusuf: 86)


4) Meninggikan kalimah tauhid

Golongan nabi dan rasul berlaku baik dalam bermuamalah dengan ALLAH, maka ALLAH memberi mereka keselamatan. ALLAH menyelamatkan Nabi Nuh; Nabi Ibrahim apabila dilempar ke dalam api; Nabi Ayyub yang ditimpa penyakit dalam masa yang panjang; Nabi Ibrahim diuji dengan kewajipan menyembelih anaknya Nabi Ismail; dan Nabi Yusuf yang dilemparkan dalam perigi dan dihumban ke dalam penjara secara zalim, namun akhirnya mereka semua mendapat kejayaan.

Lihat bagaimana keperitan bertukar kepada kebahagiaan. Sesiapa mengingati ALLAH dalam keadaan senang, ALLAH akan mengingatinya di waktu susah. ALLAH tidak akan lalai terhadap hamba yang menjaga hubungannya dengan ALLAH, yang menjaga maruahnya, menjaga solatnya, mengingati ALLAH, membaca al-Quran, menjaga batas-batas yang ditetapkan oleh ALLAH, dan menghindari perkara yang dilarang oleh ALLAH.

Firman ALLAH, “Sesungguhnya ALLAH bersama orang-orang yang bertakwa dan orang yang berbuat kebaikan” (Surah Al-Nahl: 128). ALLAH menyebut tentang Nabi Yunus yang berkata: “Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha suci Engkau, sungguh aku termasuk orang yang zalim.” (Surah Al-Anbiyaa: 87)

Dia mengucapkannya secara ikhlas, maka ALLAH berkata, “Maka Kami perkenankan doanya dan menyelamatkannya daripada kedukaan. Begitulah Kami menyelamatkan orang yang beriman.” (Surah Al-Anbiyaa: 88)

Nabi Yunus memahami kalimah Agung Tauhid, "Laa Ilaaha illaa Anta (Tiada Tuhan kecuali Engkau)” iaitu tiada sembahan yang berhak disembah kecuali ALLAH. Lalu Nabi Yunus menyatakan "Subhanaka (Maha Suci Engkau)" yang membawa maksud pengagungan dan menyucikan iaitu ALLAH Maha Suci dari sebarang kekurangan mahupun kecacatan.

Kemudian Nabi Yunus merendahkan diri “Sesungguhnya aku tergolong dalam kalangan orang yang zalim”. Ini contoh tawaduk para nabi dan Rasul, mereka takut terhadap ALLAH, lalu ALLAH menyelamatkannya dari kegelapan malam dan kegelapan lautan, juga kegelapan perut ikan.

Inilah hasil ketaatan, keberkatan zikir dan amal soleh, juga keagungan tauhid yang dengannya, ALLAH menyelamatkan manusia dari keperitan. ALLAH menyelamatkan manusia dengan tauhid, bahkan keamanan dan kemakmuran serta kehidupan yang bahagia terikat dengan tauhid.

Ustaz Idris Sulaiman
Ahli Syura Ilmuwan Malaysia



sumber : sinar harian