Suka Entry Di Sini???

Thursday, October 16, 2014

WASIAT



Islam galakkan berwasiat

HANYA sepertiga harta yang boleh diwasiatkan.


WASIAT dari segi bahasa berasal daripada perkataan ‘wassa’ yang bererti memerintahkan, menasihatkan, menjanjikan atau pemberian harta selepas mati. Dari segi istilah pula, ia merujuk kepada pemberian atau sumbangan oleh seseorang kepada pihak lain setelah dia meninggal dunia sama ada perkataan wasiat itu diucapkan atau tidak dalam bentuk harta atau manfaat.

Pensyariatan wasiat dapat dilihat melalui nas al-Quran, hadis, amalan sahabat dan ijmak. Ia dapat dilihat dalam al-Quran dengan Allah memerintahkan seseorang itu supaya berwasiat dalam surah al-Ma’idah ayat 106 yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, apabila salah seorang kamu menghadapi kematian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat itu) disaksikan oleh dua orang yang adil antara kamu atau dua orang yang berlainan agama dengan kamu, jika kamu dalam perjalanan di muka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian.”



Di samping itu, Rasulullah SAW juga menggalakkan seseorang itu membuat wasiat sebagaimana dalam hadis: “Tiada hak (patut) bagi seorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan dibiarkan hingga dua malam melainkan wasiatnya itu tertulis di sisinya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW juga bersabda: “Sesiapa yang mati dalam keadaan meninggalkan wasiat, maka dia mati di atas jalan yang satu dan mengikut sunah. Matinya sebagai seorang yang bertakwa dan bersyahadah serta mati dalam keadaan dosa-dosanya diampunkan.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Apakah syarat-syarat utama wasiat?

Antara syarat utama wasiat, pewasiat hendaklah seorang yang mukallaf (baligh dan berakal), merdeka dan tidak dipaksa serta pemilik kepada harta yang diwasiatkan. Penerima wasiat pula hendaklah diketahui (kecuali untuk perkara kebajikan), wujud pada masa kematian pewasiat, berkeahlian memiliki harta dan bukan waris mengikut pendapat jumhur ulama’ (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali).

Harta yang diwasiatkan sama ada harta alih atau tak alih atau manfaat yang bernilai di sisi syarak, boleh dipindah milik selepas kematian pewasiat dan wujud dalam milikan pewasiat (jika ditentukan) atau wujud semasa kematian pewasiat (jika tidak ditentukan). Sighah wasiat boleh berlaku sama ada secara jelas (sarih) atau tersirat (kinayah) atau sama ada melalui lisan.

Apakah kadar harta wasiat?

Kadar harta yang boleh diwasiatkan oleh pewasiat menurut ketentuan syarak adalah setakat satu pertiga sahaja daripada harta bersih peninggalannya yang masih ada pada waktu kematiannya setelah digunakan untuk belanja pengebumiannya dan pembayaran hutang-hutangnya sekiranya ada.

Oleh itu, wasiat yang melebihi kadar tersebut adalah tidak sah kecuali waris-waris bersetuju dengan kadar yang lebih itu. Ini adalah bersandarkan kepada hadis Rasulullah yang melarang wasiat melebihi daripada satu pertiga harta pewasiat.

Saad bin Abu Waqqas berkata: Telah datang Rasulullah SAW untuk melihatku sedang aku berada di Mekah. Aku berkata: Wahai Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku.
Baginda menjawab: Tidak. Aku berkata: Sebahagiannya. Baginda menjawab: Tidak. Aku berkata: Sepertiga. Baginda menjawab: Ya, sepertiga dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).



 Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1016&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm#ixzz3GGku8tHB








1 comment:

  1. org Melayu masih 'takut' dgn terma wasiat. lg2 orang tua

    ReplyDelete

Assalamualaikum..

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen di sini. :D

Fruity Plum Heart
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...